SUARAM mengalu-alukan arahan Perdana Menteri untuk menyemak dan menilai semula Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). Namun, langkah ini tidak wajar dilengahkan kerana pindaan ini telah lama tertangguh. Pada tahun 2023 lalu, sesi libat urus yang menyeluruh telah pun dijalankan oleh mantan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh dengan cadangan pindaan yang terperinci telah pun dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri. Apa yang diperlukan kini bukan lagi semakan tambahan, tetapi tindakan segera untuk melaksanakan pindaan ini tanpa sebarang kelewatan.
Antara pindaan yang ingin disaksikan oleh SUARAM adalah pemansuhan Seksyen 4(5) mengenai penahanan sebelum pendakwaan selama 28 hari tanpa pengawasan kehakiman, kerana ia bercanggah dengan hak kepada perbicaraan yang adil serta membuka ruang kepada penyeksaan dan layanan buruk dalam tahanan. Kami juga menggesa pindaan terhadap Seksyen 13(1) supaya semua tahanan diberikan hak untuk memohon jaminan, selaras dengan peruntukan jaminan dalam Kanun Tatacara Jenayah – berbanding peruntukan sedia ada yang hanya membenarkan permohonan jaminan bagi wanita, kanak-kanak, serta mereka yang sakit atau uzur. Sekatan terhadap hak untuk memohon jaminan ini bercanggah dengan prinsip anggapan tidak bersalah dan memberi kesan sosioekonomi yang teruk kepada keluarga tahanan, dimana ramai dalam kalangan mereka terjerumus ke dalam kesulitan kewangan serta menjejaskan kebajikan dan pendidikan anak-anak mereka.
Sehubungan itu, Kementerian Dalam Negeri mesti segera menetapkan garis masa yang jelas untuk membentangkan pindaan SOSMA di Parlimen serta melaksanakan moratorium ke atas semua kes SOSMA yang sedang berjalan dan akan datang sehingga reformasi kritikal ini dilaksanakan.
Comments