top of page
SUARAM

MENTERI DALAM NEGERI HARUS SEGERA KAJI SEMULA SOSMA

Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) menyeru Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Saifuddin Nasution untuk segera menyemak semula SOSMA (Akta Kesalahan Keselamatan (LangkahLangkah Khas). Perkara yang harus diketahui oleh Menteri Dalam Negeri adalah:




1. SOSMA masih membenarkan penahanan tanpa bicara iaitu penahan di bawah kuasa polis selama 28 hari tanpa melalui proses mahkamah atau campur tangan majistret.


2. Orang Kena Tahan (OKT) dinafikan hak dan akses kepada peguam dan ahli keluarga pada 48 jam pertama dan selepas itu hak OKT masih bergantung kepada budi bicara pihak polis.


3. Peruntukan tersebut juga meningkatkan risiko OKT diseksa dan membuat pengakuan paksa tanpa pengawasan daripada pihak mahkamah atau majistret.



4. Di bawah SOSMA, badan kehakiman tidak mempunyai kuasa budi bicara malah sebaliknya, pihak pendakwa raya yang memegang kuasa mutlak untuk menentukan sama ada seseorang itu diberikan peluang untuk diikat jamin atau tidak. Dalam hal ini, kebanyakan kes tidak diberikan jaminan.


5. Antara kes SOSMA yang dipantau SUARAM, terdapat individu yang ditahan melebihi 5 tahun sehingga perbicaraan tamat dan dihukum. Dasar 'tiada ikat jamin' ini bukan sahaja melanggar hak tahanan untuk perbicaraan yang adil, tetapi seolah-olah individu tersebut telah diisytiharkan bersalah sebelum mahkamah.


6. SOSMA juga membenarkan ‘saksi yang dilindungi’ merahsi


akan identiti mereka daripada tertuduh dan peguam bela semasa memberikan keterangan. Hal ini menyukarkan tertuduh untuk mencabar kredibiliti saksi dan sukar untuk membuat pembelaan yang mencukupi bagi pertuduhan.


7. Di bawah SOSMA, “apa-apa pernyataan oleh seseorang tertuduh sama ada secara lisan atau bertulis kepada mana-mana orang pada bila-bila masa” hendaklah boleh diterima sebagai keterangan, tanpa mengira ia adalah pengakuan paksa atau sebaliknya.



Kami ingin menggesa agar beliau juga mendengar pandangan para pemegang taruh termasuk kumpulan masyarakat sivil sebelum memberi sebarang kesimpulan terutamanya dalam isu hak asasi manusia.



SUARAM meminta kerajaan baru untuk MORATORIUM penggunaan SOSMA sehingga keputusan kajian semula atau pemansuhan dilaksanakan. SOSMA membelakangi prinsip setiap orang yang tertuduh bagi mana-mana jenayah dianggap tidak bersalah sehingga dia terbukti bersalah (presumption of innocence) kerana ia menghukum dahulu atau jamin ditolak dan dipenjara sehingga selesai proses mahkamah. Kerajaan baru harus tolak konsep hukum dahulu bicara kemudian. Akhir sekali, kami menyeru agar kerajaan baharu yang ditubuhkan atas nama reformasi perlu mengambil langkah segera dalam penilaian semula dan kerja pemansuhan SOSMA serta undangundang drakonian yang lain.


40 views0 comments

Comments


bottom of page