top of page

PIHAK BERKUASA PERLU MENEGAKKAN MORATORIUM AKTA PERHIMPUNAN AMAN SEPENUHNYA

SUARAM

Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) menyambut baik keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menggugurkan pertuduhan terhadap Fadhil Kasim, seorang aktivis mahasiswa serta koordinator bagi perhimpunan Gempur Rasuah Sabah. Tindakan ini selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim dua minggu lalu berkenaan moratorium bagi segala siasatan di bawah Akta Perhimpunan Aman (APA) yang masih berjalan.


Namun, pertuduhan terhadap Fadhil pada awalnya tidak patut berlaku. Perdana Menteri dengan jelas menyatakan perhimpunan anti-rasuah yang melibatkan mahasiswa adalah antara siasatan di bawah APA yang perlu dihentikan serta-merta. Di samping menyatakan bahawa Seksyen 11 akan dipinda, Anwar mengakui bahawa syarat meminta keizinan pemilik tempat wujud di dalam beberapa peruntukan APA. Justeru, tujuan moratorium seharusnya mencakupi segala peruntukan yang menyatakan tentang syarat berkenaan.


Penggunaan Seksyen 9(5) terhadap Fadhil bercanggah dengan niat moratorium yang bukan sahaja menjadikan syarat berkenaan tidak relevan, malah mengiktiraf hak untuk berhimpun secara aman di ruang awam tidak seharusnya bergantung kepada ‘keizinan’ pihak berkuasa tempatan yang hanya bertindak sebagai penjaga ruang tersebut. Penguatkuasaan selektif di bawah PAA dapat dilihat semasa perhimpunan anti-rasuah di Kuala Lumpur – yang dianjurkan dalam keadaan yang hampir sama, namun tiada sebarang tindakan. 


Seperti yang ditegaskan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), segala bentuk advokasi aman harus digalakkan bukan disekat. Ini memerlukan prinsip fasilitasi ditegakkan dimana pihak berkuasa tidak memintas kerangka perundangan APA dengan salah guna undang-undang lain bagi mengekang aktivisme aman. Walau bagaimanapun, Azura Nasron (Pengurus Program SUARAM), salah seorang ahli keluarga tahanan SOSMA dan juga saya kini berhadapan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 5 Akta Kawasan Larang dan Tempat Larangan – kehadiran kami di Kementerian Dalam Negeri (MOHA) hanyalah untuk fasilitasi serahan memorandum oleh keluarga tahanan SOSMA terhadap isu yang dihadapi oleh tahanan kepada wakil MOHA. Berbeza dengan dakwaan bahawa kami menceroboh kompleks MOHA tanpa 'pas yang sah', kami sebenarnya telah dinafikan untuk masuk walaupun mempunyai janji temu yang telah dijadualkan dan terpaksa menunggu di luar selama 2.5 jam tanpa alasan yang munasabah. Kami telah membuat beberapa permohonan untuk mendapatkan pas masuk, namun semuanya diabaikan. Walaupun pertuduhan ini ditangguhkan buat sementara waktu pada 24 Februari lalu, kewujudannya sahaja sudah mencetuskan kebimbangan terhadap usaha menyekat hak untuk berhimpun secara aman di luar bangunan kerajaan – satu saluran kritikal bagi menyuarakan isu, advokasi dasar, dan ekspresi demokrasi.


SUARAM menggesa agar semua pihak berkuasa mematuhi moratorium ini dengan penuh kejujuran dan menghentikan semua siasatan serta pendakwaan yang tidak adil terhadap penganjur perhimpunan. Reformasi PAA mesti dilaksanakan secara menyeluruh dan konsisten, selaras dengan jaminan Perdana Menteri bahawa undang-undang ini akan beralih ke arah fasilitasi, bukannya penindasan.

 
 
 

Comments


  • Facebook
  • Twitter
  • YouTube
  • Instagram
About Us
Privacy Policy
bottom of page