Events
Wacana Meja Bulat Gerakan Mahasiswa UIAM
Mahasiswa Bukan Juru Bicara Rakyat
Penganjur: Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
Tempat: Richiamo Coffee, UIAM
Tarikh: 30 October 2024
Masa: 8:00 - 10:30 malam
Kehadiran: We Unite for Islam (WUFI) IIUM, Grassroots Empowerment IIUM, Congress Gombak dan IIUM Students Union
Pengenalan
Wacana Meja Bulat ini merupakan perhimpunan pertama yang mengumpulkan semua persatuan politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Program ini dianjurkan oleh SUARAM, sebuah organisasi hak asasi manusia yang sejak penubuhannya telah aktif dalam memperjuangkan keadilan sosial dan demokrasi di Malaysia. Anjuran inisiatif ini adalah sebuah kolaborasi bersama gerakan-gerakan mahasiswa aktif di UIAM. Matlamat wacana ini adalah untuk mencari titik persamaan antara gerakan mahasiswa yang terlibat dan membina semangat kerjasama yang kukuh.
Perbincangan
​
Soalan 1: Apakah Maksud ‘Mahasiswa’?
​
Dalam perbincangan tentang makna sebenar 'mahasiswa,' para wakil persatuan di UIAM menyepakati bahawa istilah ini melambangkan bukan sahaja seorang pelajar universiti, tetapi seorang individu yang berperanan penting dalam masyarakat dan negara. Menurut Presiden Persatuan IIUM, ‘maha’ memberi maksud kuasa dan tanggungjawab, manakala ‘siswa’ merujuk kepada pelajar; mahasiswa, oleh itu, adalah pelajar yang memikul tanggungjawab besar terhadap masyarakat. Pandangan lain menambah bahawa makna 'mahasiswa' kini telah berkembang, menggambarkan individu yang bukan sahaja belajar, tetapi juga mendalami isu-isu dunia, khususnya dalam politik. Mahasiswa dianggap sebagai aset negara, masa depan masyarakat, dan memiliki potensi untuk menjadi suara bagi rakyat yang mampu mencabar kuasa kerajaan dan institusi. Sebagai golongan yang berpendidikan, suara mahasiswa diyakini lebih berwibawa. Mereka juga bebas daripada pengaruh politik tertentu, yang mana menjadikan pendirian mereka lebih tulus dan berprinsip. Kesepakatan dalam wacana ini menunjukkan mahasiswa bukan sekadar penuntut ilmu tetapi individu yang mampu membawa idea dan perubahan yang bermakna, walaupun ada cabaran dalam pelaksanaannya.
​
​
Soalan 2: Adakah Spektrum Politik (Kiri dan Kanan) Menjadi Masalah?
​
Dalam perbincangan ini, wakil Congress menjelaskan bahawa isu hanya timbul apabila kedua-dua spektrum—kiri dan kanan—tidak menyumbang secara aktif. Spektrum kanan biasanya dilihat lebih senyap, tetapi mereka tetap memainkan peranan penting di sebalik tabir dengan memberi tekanan kepada kerajaan. Namun, peranan ini, walaupun tidak ketara, dianggap penting dalam memastikan kestabilan.
Seorang lagi peserta mencadangkan agar pandangan tentang spektrum diperluaskan dengan mengiktiraf spektrum tengah kiri dan tengah kanan, yang tidak terlalu ekstrem ke mana-mana arah. Ini menunjukkan betapa berkesannya pendekatan yang lebih sederhana dan seimbang. Beliau juga menegaskan bahawa kita perlu menerima bahawa berada di posisi tengah adalah sesuatu yang wajar, kerana perubahan pandangan adalah sebahagian daripada perkembangan. Selagi setiap pihak memberikan sumbangan, maka spektrum politik bukanlah masalah utama.
Sebagai contoh, sebuah universiti di Indonesia pernah mengamalkan format kanan dan kiri yang sering bertelagah di hadapan orang ramai, namun di sebalik tabir, mereka bekerjasama untuk mencapai persetujuan yang seimbang. Pandangan ini menggariskan bahawa walaupun terdapat perbezaan spektrum, mahasiswa mampu mencapai titik persefahaman untuk kebaikan bersama.
​
​
Soalan 3: Adakah slogan ‘Mahasiswa Juru Bicara Rakyat’ Masih Relevan?
​
Dalam wacana ini, wakil Congress menekankan bahawa mahasiswa mempunyai akses kepada maklumat dan kemampuan berpikir yang luas. Mereka dianggap sebagai kumpulan yang berpotensi tinggi, bukan sahaja dari segi intelektual tetapi juga dalam kesedaran sosial. Walaupun mahasiswa belum melalui pengalaman hidup penuh seperti tanggungjawab keluarga atau kerjaya, mereka masih mempunyai tiga prinsip utama—membawa idea yang sering diabaikan oleh pihak kerajaan, melibatkan masyarakat secara aktif, dan memupuk kepekaan sosial. Mahasiswa memerlukan sokongan masyarakat untuk membina idea-idea mereka, bukan sekadar menanti masyarakat memerlukan mereka.
Selain itu, peranan empati turut diketengahkan; mahasiswa sering kali merasai kesulitan masyarakat dan bertindak apabila pihak lain tidak berupaya untuk bersuara. Mereka mengangkat isu golongan terpinggir dan memahami cabaran rakyat yang kurang berkemampuan. Sebagai contoh, mahasiswa yang prihatin terhadap isu alam sekitar boleh diumpamakan dengan perjuangan aktivis seperti Greta Thunberg, di mana mahasiswa turut prihatin terhadap isu banjir di Malaysia.
Namun, seorang lagi peserta menambah bahawa ada perbezaan ketara antara idealisme dan realisme. Mahasiswa perlu menyeimbangkan semangat idealisme dengan realiti kehidupan. Jika terlalu fokus kepada idealisme tanpa pendekatan realistik, hasilnya mungkin kurang efektif. Pada akhirnya, hanya tindakan yang praktikal dapat membawa perubahan yang diharapkan.
Wakil dari IIUM SU pula mengulas bahawa sebelum ini perjuangan mahasiswa mendapat perhatian media, tetapi kini penyebaran berita telah berubah dengan penggunaan media sosial seperti TikTok yang lebih cepat dan meluas. Selepas COVID-19, hampir semua perkara berlaku secara atas talian, dan mahasiswa perlu menyesuaikan diri dengan konteks masyarakat digital hari ini.
Akhir sekali, isu relevansi mahasiswa sebagai juru bicara rakyat dirujuk kembali kepada kedudukan ilmu yang dipegang oleh mahasiswa. Sebagai suara rakyat, mahasiswa perlu memastikan bahawa mereka berada di tahap intelektual yang tinggi agar pandangan yang mereka sampaikan berwibawa dan memberi impak.
Maka, jawapan bulat suara berpendapat bahawa mahasiswa sebagai juru bicara rakyat masih relevan dan mahasiswa perlu berbakti semula kepada masyarakat.
​
​
Soalan 4: Bagaimana dengan Kehadiran Sayap Mahasiswa Parti Politik Nasional dalam Kalangan Mahasiswa?
​
Para peserta memberikan pandangan tegas bahawa pengaruh parti politik luar tidak seharusnya dibawa masuk ke dalam kampus universiti. Mereka menegaskan bahawa politik kampus dan politik parti adalah dua entiti yang berbeza dan harus dipisahkan untuk mengekalkan autonomi dan fokus aktivisme mahasiswa. Menurut salah seorang peserta, penglibatan parti politik di kampus boleh merosakkan fokus perjuangan mahasiswa yang sebenar, kerana ia cenderung mengalihkan perhatian daripada isu-isu dalam kampus kepada agenda politik luar.
Selain itu, ada pandangan bahawa pelajar yang terlibat dalam politik kampus seringkali terlalu fokus pada kerjaya politik mereka di luar, sehingga mengabaikan isu-isu dalaman kampus. Fokus yang berlebihan pada hal-hal luar kampus tanpa menyelesaikan isu-isu asas di dalam kampus menyebabkan pergerakan mahasiswa kehilangan arah dalam usaha memperjuangkan hak serta kepentingan komuniti universiti sendiri.
Akhir sekali, seorang peserta bertanya mengenai kepentingan peribadi pelajar yang menyertai pergerakan universiti, dengan menekankan bahawa matlamat utama seharusnya adalah kesatuan dalam memperjuangkan suara rakyat, bukannya memenuhi agenda peribadi atau politik. Hal ini membawa kembali persoalan adakah mahasiswa benar-benar menjadi juru bicara rakyat atau hanya mengikuti arus politik kepartian tanpa memikirkan relevansi perjuangan mereka terhadap masyarakat.
​
​
Soalan 5: Reaksi terhadap Pandangan 'Kenyataan Media’ tidak berkesan atau buang masa.
​
Para peserta menyampaikan pandangan mereka terhadap komen negatif atau neutral yang mempersoalkan kesan kenyataan mengenai isu Bajau Laut tanpa kewarganegaraan yang dikongsi di media sosial. Wakil dari SU menyatakan bahawa tujuan kenyataan ini adalah untuk mereka yang prihatin, dan walaupun impaknya mungkin tidak segera terlihat pada khalayak yang lebih luas, ia akan menyebar secara perlahan dalam kalangan individu dan kumpulan yang mengambil berat. Menurut mereka, kadangkala respons negatif timbul kerana sasaran khalayak mungkin kurang relevan atau kurang prihatin.
Dari perspektif mahasiswa, isu ini juga dianggap sebagai satu proses pembelajaran untuk memahami isu-isu global, termasuk kes-kes seperti keadaan komuniti tanpa kewarganegaraan. Bagi mereka, menyebarkan kesedaran adalah satu usaha berterusan untuk melibatkan lebih ramai yang prihatin, di mana kredibiliti SU juga diperkukuh melalui pernyataan seperti ini. Penglibatan ramai pihak melalui kenyataan bersama menunjukkan solidariti yang memberi impak kepada masyarakat yang cakna.
Peserta lain pula menyuarakan bahawa ada perlunya memahami sudut pandangan yang berbeza, seperti kebencian atau ketidakpedulian daripada pihak yang mungkin kurang prihatin terhadap isu ini. Oleh itu, mereka mencadangkan agar kenyataan-kenyataan ini perlu lebih diuar-uarkan agar impak sebenar dapat dirasai, khususnya dalam mendidik dan menyentuh khalayak di luar sasaran utama.
​
​
Soalan 6: Adakah Perjuangan Yang Dibawa Gerakan Mahasiswa Membuahkan Hasil?
Dalam perbincangan mengenai keberkesanan gerakan mahasiswa, para peserta memberi pelbagai pandangan yang menyentuh tentang impak sebenar yang dihasilkan oleh tindakan seperti protes, media statement, dan penyerahan memorendum. Wakil dari Congress membangkitkan isu stigma di mana terdapat pihak yang enggan mendengar suara mahasiswa. Namun, mereka juga menekankan bahawa beberapa Ahli Parlimen (MP) yang dahulunya aktivis mungkin lebih memahami perjuangan mahasiswa. Sebagai contoh, mereka menyebut pertemuan dengan MP Kota Kinabalu (KK) yang secara langsung mengambil tindakan dengan menghubungi pihak berkuasa tempatan, DBKK, tentang isu perobohan Kampung Teluk Layan Sabah, yang pada akhirnya perobohan kampung tersebut dibatalkan selepas gesaan daripada mahasiswa. Hal ini membuktikan wujud kesan dan hasil dalam perjuangan gerakan mahasiswa kontemporari.
Congress juga mengetengahkan usaha mahasiswa dalam isu-isu seperti pindaan berkaitan komuniti tanpa kewarganegaraan sebagai sebahagian daripada solidariti mereka. Mereka cuba mendekati MP untuk berbincang mengenai isu ini, walaupun terdapat halangan seperti pertemuan yang dibatalkan kerana isu sensitiviti senarai nama. Namun, mesej mereka jelas: apabila mahasiswa bersatu dan menunjukkan kekuatan kolektif, ia mampu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pihak atasan.
Wakil dari SU pula menyatakan bahawa keberkesanan gerakan adalah aspek paling penting untuk memastikan impak sebenar, terutama ketika gerakan berada di bawah naungan pejabat universiti. Menurut mereka, gerakan mahasiswa perlu mempunyai sasaran yang lebih luas dan mengelakkan perasaan "syok sendiri" dengan hanya menggerakkan kalangan yang sama. Harus ada usaha untuk melibatkan lebih ramai pelajar lain agar suara mahasiswa benar-benar memberi kesan.
​
​
Soalan 7: Apakah Prinsip Yang Disepakati Bersama?
​
Para peserta bersetuju bahawa terdapat prinsip-prinsip asas yang perlu dipertahankan oleh semua persatuan, iaitu perpaduan atau “unionisme.” Unionisme membentuk kekuatan yang menyokong dan memperjuangkan kepentingan mahasiswa, berlandaskan niat yang ikhlas dan persahabatan kukuh (ukhwah) di IIUM. Terdapat kepercayaan bahawa tujuan utama pembinaan persatuan adalah untuk memupuk solidariti demi kebaikan mahasiswa, bukan untuk kepentingan diri sendiri atau untuk membuktikan sesuatu hanya pada diri sendiri. Ini kerana perjuangan yang bersifat peribadi tidak akan bertahan lama.
Mereka juga menekankan bahawa keberadaan persatuan sahaja tidak cukup; kelestarian atau "sustainability" perlu diprioritaskan. Bagaimana untuk memastikan bahawa nilai-nilai yang sama dapat diterapkan sepanjang pengajian dan bahkan setelah bergraduasi? Persatuan perlu memikirkan cara menanam dan mengekalkan pemikiran serta semangat yang sama dalam setiap anggotanya, agar kesinambungan perjuangan mahasiswa dapat dikekalkan.
Pesanan untuk YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim
​
Sebagai mahasiswa yang mewakili suara rakyat, mereka ingin menyampaikan beberapa pesanan penting kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Pertama, mereka berharap beliau akan menyokong Festival Sastera sebagai platform untuk memartabatkan suara mahasiswa dan seniman di Malaysia. Mereka juga menyeru beliau untuk tidak melupakan perjuangan mahasiswa yang lalu dan untuk terus memperjuangkan hak dan kebajikan mahasiswa pada masa kini.
Dalam hal Kementerian Dalam Negeri (KDN), mereka mendesak agar SOP berkaitan status tanpa kewarganegaraan (statelessness) dapat segera dilaksanakan, memandangkan proses yang perlahan dan hasil cukai rakyat seharusnya digunakan untuk kepentingan mereka. Selain itu, isu keseimbangan kerja-hidup perlu diatasi, kerana ramai graduan terpaksa mencari lebih daripada satu pekerjaan, yang menyebabkan kelewatan dalam perkahwinan.
Mereka juga menyeru agar penindasan terhadap protes berkaitan salah laku polis dihentikan, serta memohon reformasi dalam sistem pendidikan rendah untuk memastikan pendidikan berkualiti bagi setiap anak Malaysia. Di samping itu, mereka berharap belanjawan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk pensyarah dapat ditingkatkan demi kebaikan pendidikan tinggi.
Akhirnya, mereka menegaskan perlunya memansuhkan AUKU untuk memerkasa mahasiswa dan gerakan mahasiswa. Mereka berharap pesan ini dapat diterima dan dijadikan perhatian oleh Perdana Menteri untuk memperbaiki keadaan rakyat dan mahasiswa di Malaysia.
​